Friday, February 11, 2011

Biarkan Cinta Mencari Langitnya Sendiri

     Sewaktu saya mencecah usia 27 tahun (masih dikira muda sebenarnya). Saya baru kenal apa makna cinta atau mungkin baru cuba mengenali erti cinta. Ia datang berkilat-kilat setiap kali saya terpandangkan seorang budak lelaki. Ehh atau patut saya katakan seorang lelaki dewasa, melalui depan saya setiap hari dengan rambut yang tersikat rapi ke belakang, janggut sejemput di dagu, bersama haruman lembut HugoBoss atau Diesel atau mungkin juga haruman Giorgio Armani. Berminggu-minggu menyukai dia dalam diam dan keseronokan itu berkisar di situ. Kami saling bertukar pandang, bertukar senyum dan akhirnya bertukar nombor telefon dan eh sungguh memang dia yang cuba flirt saya dulu.
     Alangkah lucunya jika diingat kembali tapi dia sungguh baik, pemalu dan memang sangat pelupa, juga clumsy seperti saya.
'Jika cinta, pada waktu-waktu tertentu, jika disimpan lama ia akan lebih melukakan dan memilukan. Maka kerana itu kita perlu melepaskannya pergi begitu saja'


   2 hari yang lepas, saya terlihat namanya mengerdip di skrin komputer. Melihatkan namanya tersangkut di peti emel membuatkan hati saya berdebar dan saya jadi tidak tentu arah hinggakan teh perisa kulit limau yang saya bancuh tidak habis saya minum. Biarpun sudah boleh saya agak, huruf-hurufnya boleh dibilang dengan jari.
    Seingat-ingat saya selama 2 tahun ini,hadiah-hadiahnya tidak pernah lupa menjenguk sa ya. Bunga ros merah, beberapa helai baju jenama Hush Pupies yang dibeli semasa Sales hujung tahun, kad-kad yang menarik hati (biarpun tulisannya ala kadar sahaja), perfume Giorgio Armani Diamond yang masih separuh penuh isinya.
Jam tangan Bonia berwarna putih yang sangat jarang saya pakai kerana takut warnanya menjadi pudar.
Gambar contoh


Semuanya dibeli dengan hasil titik peluh bekerja kuat selepas waktu pejabat membuatkan hati sebak. Gembira dan terharu, itu belum lagi dikira dengan tiket-tiket wayang dan bil-bil restoran yang saya simpan kemas di dalam kotak (sungguh dia tidak pernah tahu).

Saya belajar di sebalik tamsil kejadian ini, jika bukan jodoh, biar 1000 tahun pun berkawan belum tentu kita akan bersamanya.

    Saya pernah berusaha kuat untuk memenangi hatinya, tanpa pernah rasa putus asa. Tapi mungkin juga kerana hatinya yang sudah terkatup kuat untuk saya atas sebab-sebab tertentu membuatkan perhubungan menjadi mendatar. Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi dan akhirnya sang perempuan pun perlahan-lahan mengambil sikap berdiam diri.

Seperti dia yang pernah membazirkan sekian banyak duit simpanan dan juga duit saku kerjanya dengan bekerja kuat selepas waktu pejabat 2 kali dalam seminggu untuk memandikan saya dengan hadiah-hadiahnya. Dan dia akhirnya memilih untuk berkahwin dengan wanita yang disukainya semasa di zaman kampus. Aduh!
     Dan saya sekali lagi sedar bahawa cinta jika kita sungguh mengasihinya maka kita perlu redha melepaskannya dengan baik, tanpa dendam atau sakit hati. Dan kini secara perlahan-lahan saya sudah pun belajar untuk melepaskan beberapa perkara yang amat saya sayangi dalam hidup kerana saya percaya itu yang lebih baik. Sometimes love means to let go.
     Akan datang mungkin ini adalah post terakhir saya tentang dia di dalam blog saya, namun saya tidak tahu apakah saya benar-benar bersedia untuk terima hakikat yang satu ini. Melepaskan sesuatu yang kita sayang tidak bermakna kasih dan sayang untuk si Dia berhenti setakat itu. Belajarlah untuk  menyayangi tanpa meletakkan sebarang harapan. Kini saya dalam fasa untuk mengasihi diri sendiri. Bagi saya, sayangilah diri anda sendiri lebih daripada mana-mana lelaki yang hadir ke dalam hidup anda.. 

No comments: