Monday, April 11, 2011

Selamat Hari Lahir Ayah....

   Sungguh tidak disangka usianya sudah mencecah 65 tahun. Kedutan di wajahnya hampir ketara tetapi terlindung dengan kaca mata yang jarang sekali ditanggalkan kecuali pada waktu tidur. Dia masih seperti dulu, cuma garangnya saja yang sudah semakin berkurangan kerana menyedari yang anak-anaknya sudah semakin menginjak dewasa. Anak-anak terunanya sudah membesar dan anak gadisnya pula sudah bertambah perawan. Cuma membezakan dia dengan orang lain yang seusia dengannya ialah dia masih belum punya cucu yang boleh diajak bermain.

    Terasa seperti baru semalam dia memarahi kami tiga beradik. Terasa seperti baru semalam dia merotan kami. Hingga adakalanya rotan itu terpaksa kami sembunyikan di belakang tingkap. Waktu itu dia masih lagi kelihatan gagah dan perkasa, umurnya waktu itu dalam lingkungan 40an. 25 tahun telah berlalu dan yang selalu membela kami tiga beradik tentunya sang ibu, yang tidak pernah jemu-jemu.

     Walaupun cuma saya seorang anak perempuan dalam kami tiga beradik, saya bersyukur kerana limpahan kasih sayang kedua orang tua pada kami tidak pernah berbelah bahagi biarpun yang pastinya kasih sayang untuk saya melebihi adik lelaki dan abang saya. Al-maklumlah seorang saja anak perempuan.

Apa saja yang saya inginkan, kedua orang tua saya sentiasa berusaha untuk menunaikannnya. Seingat-ingat saya, sejak saya berusia 7 tahun hinggalah menginjak 13 tahun, tarikh lahir saya pasti akan disambut biarpun secara sederhana, berbanding dengan abang dan adik lelaki saya. Owh betapa bertuahnya saya hingga mendatangkan geram di hati abang dan adik lelaki saya. Well itulah seronoknya apalah dilahirkan sebagai anak perempuan tunggal.

      Kini setelah 65 tahun genap umurnya, dia tidak pernah bersungut membesarkan kami. Hingga ada perangai yang dimilikinya diwarisi oleh saya iaitu kami berdua memang sangat sukakan kucing. Hari ini adalah tarikh hari lahir sang ayah. Saya masih belum punya kesempatan untuk memikirkan apa hadiah yang perlu saya berikan untuknya kerana saya tahu apa juga yang saya hadiahkan, belum tentu mampu untuk membalas segala pengorbanan serta kasih sayang yang dia berikan untuk saya, abang dan juga adik.

Hadiah yang mahal tiada nilainya kalau diberi tanpa rasa kasih, tapi hadiah yang biasa-biasa mampu mengikat hati seseorang andai diberi dengan rasa sayang. Tidak perlu yang mahal cukup dengan sepotong doa tulus dari hati kita mampu mengikat hati orang yang kita sayang hingga ke syurga.

Selamat hari lahir ayah.

  

1 comment:

dahllya said...

.....and one of her son already married...
Dan x lama lagi Akan punya cucu...:))